Golongan Marhaen




Salam Sejahtera,

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa baru kini aku terpanggil untuk menulis apa yang tersirat dalam hatiku. Seperti yang telah kukatakan aku tidak mahu lagi kehilangan detik-detik bermakna dalam hidupku. Sebelum ini, segala yang terjadi tidak aku nikmati hikmah di sebalik kejadian tersebut sedalam-dalamnya.


Tanggal 22 September detik 10.58 malam betul-betul memberi kesan kepada diriku kerana pada saat itu bermulalah peranan hidupku sebagai seorang ayah. Kadang-kadang aku terfikir mampukah aku menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan-Nya dengan sempurna. Maklumlah, aku cuma insan kerdil yang penuh dengan kelemahan. Tidak dapat dinafikan di dalam sebuah keluarga pasti ada yang dilebihkan. Tapi aku berdoa dan berharap agar dapat memberikan kasih sayang untuk setiap ahli keluargaku seadil-adilnya.


Kelahiran putera sulungku adalah bukti ikatan cinta antara aku dan isteriku. Tidak pernah aku terbayang bagaimana perasaannya menjadi seorang ayah. Timbul kebimbangan dalam benakku dapatkah aku mendidiknya menjadi seorang yang berjaya dalam hidupnya. Aku percaya setiap insan itu dilahirkan dengan rezeki yang telah ditentukan oleh-Nya. Takdir telahpun ditentukan di alam Luh Mahfuz lagi tapi aku tertanya pada diriku sendiri mampukah aku menghadapi kenyataan sekiranya takdir anakku ini berbeza dangan takdir ibu bapanya. Betullah sabda Nabi Muhammad SAW yang mengatakan bahawa anak itu antara ujian terbesar dari Allah untuk hamba-Nya. aku pasrah dengan segala ketentuan yang ditentukan oleh-Nya. Cuma satu yang mampu aku lakukan; memberikan yang terbaik untuk anakku.




Kini, setiap waktu aku terkenangkan anakku. Apa bolehku buat, kerja menuntut aku untuk berjauhan dengan keluargaku. Sedih juga bila fikirkan nasib ni, tapi ini adalah punca rezeki aku dan aku pasrah dengan ketentuan-Nya. Baru kini aku sedar mungkin beginilah perasaan seorang ibu atau ayah terhadp anak-anak mereka. kepada yang jarang pulang ke kampung tu, rajin-rajinkanlah melawat orang tuamu sementara mereka masih hidup ni.

Kelahiran anakku ini juga membuatkan aku sedar dan insaf betapa agungnya kuasa Allah selaku Pencipta sekelian alam. Tidak semena-mena keinsafan mula timbul dalam diri melihatkan tubuh seorang bayi yang kecil mempunyai mata, hidung, rambut, kaki, tangan, jantung yang berdegup, suara tangisannya dll. Tidak boleh terbayang bagaimana bayi sebesar ini boleh keluar daripada perut seorang wanita, dari air mani menjadi seorang manusia yang cukup sifat. Betapa besarnya kuasa-Mu Ya Allah. Subhanallah...


Buat anak ayah yang disayangi…….Ahmad Afiq Sufyan.


Ingatlah pesanan Lukman Al Hakim kepada anak-anaknya.Ambillah setiap pesanan, panduan dan nasihat insan yang mulia ini di dalam mengharungi kehidupan di dunia ini kerana Lukman Al Hakim adalah seorang ayah sama seperti ayahmu. Lukman Al Hakim adalah seorang ayah yang kisahnya telah diceritakan dan diabadikan di dalam AlQuran.

Ketahuilah setiap yang diceritakan dalam AlQuran adalah benar dan mempunyai hikmah yang maha besar. Bacalah selalu nasihat-nasihat ini kerana di dalamnya terkandung 1001 doa dan harapan seorang bapa buat anak-anaknya…. Tiada apa yang ayah mahukan dari anak-anak (pada masa akan datang) ayah melainkan kamu semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya di dunia dan di akhirat. Doa ayah anak ayah akan dapat menjawat jawatan yang membanggakan ayah dan membanggakan Islam agama yang suci ini apabila dewasa nanti.

Ahmad Afiq Sufyan….fahamilah setiap marah ayah bukanlah kerana benci tetapi percayalah setiap ayah inginkan semua kebaikan di dunia dan di akhirat untuk anak-anaknya. Ayah sayangkan anak ayah dan doa ayah sentiasa mengiringimu…setiap saat dan waktu selagi bernyawa.

NASIHAT LUKMAN AL-HAKIM KEPADA ANAKNYA.

Wahai anakku! Apabila perutmu penuh dengan makanan (kenyang) maka akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan menjadi malas untuk melakukan ibadah dan akan hilanglah kebersihan hati dan kehalusannya, di mana hati yang bersih itu hanya akan tercapai dengan kelazatan bermunajat (mengadap Allah) dan manfaat berfikir (ingat kepada Allah)

Wahai anakku! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya.Wahai anakku! Kamu ikutlah ketika orang membawa jenazah, dan janganlah kamu mengikuti jamuan perkahwinan. Kerana jenazah itu dapat mengingatkan engkau akan kesudahan dari hidupmu di dunia yang fana ini. Sementara majlis perkahwinan akan membangkitkan nafsu berahimu dan ini akan membuat kamu merasa bahawa senang dengan kehidupan dunia.

Wahai anakku! aku sudah memikul batu-batu yang besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi berat. Tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya.Wahai anakku! Aku sudah merasakan segala benda-benda yang pahit, tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan.

Wahai anakku! Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan bermacam-macam kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah dari menanggung hutang.

Wahai anakku! Sepanjang hidupku, aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi yang lalu, sabda mereka :

1. Apabila engkau mengerjakan sembahyang dan beribadah kepada Allah, maka jagalah baik-baik fikiranmu.

2. Apabila engkau berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga matamu (pandangan matamu).

3. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).

4. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.

5. Ingatlah kepada Allah s.w.t.

6. Ingatlah akan mati.

7. Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.

8. Lupakanlah semua kesalahan orang terhadap dirimu.

25 PESANAN LUQMAN AL HAKIM

1. Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2. Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

7. Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinanhanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23. Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Nasihat Luqman Hakim sebelum meninggal dunia LUQMAN al-Hakim r.a mengingatkan anaknya ketika beliau berada di ambang kewafatan:

"Wahai anakku! Sehingga setakat ini banyak yang sudah aku wasiatkan untukmu dan aku ingin mewasiatkan dirimu sekarang dengan enam perkara lagi, terdapat padanya segala ilmu orang yang terdahulu dan terkemudian:

1. Janganlah engkau sibukkan dirimu dengan urusan dunia kecuali dengan sekadar usia yang engkau miliki.

2. Sembahlah Tuhanmu, sekadar keperluanmu kepada-Nya.

3. Beramallah untuk hari akhirat, sekadar engkau ingin tinggal di sana.

4. Hendaklah engkau menyibukkan dirimu untuk melepaskan lututmu (dirimu) dari api neraka, selagi mana engkau masih belum mampu berjaya melepaskannya.

5. Beranilah engkau melakukan maksiat (kepada Allah), setakat mana engkau dapat bersabar dengan azab Allah.

6. Sekiranya engkau ingin melakukan maksiat kepada Allah, carilah tempat yang lain di mana Allah dan malaikat-Nya tidak dapat melihat dirimu.

Ahmad Afiq Sufyan...tidak ada seorang ayahpun di dunia ini yang mahukan kegagalan untuk anak-anaknya. Ayah bukanlah seorang yang berharta, bukan juga seorang yang berpangkat tinggi untuk memberimu kesenangan dunia. Hanya doa dan didikan berguna yang ayah mampu berikan. Ambillah pengajaran darinya. Moga Afiq menjadi insan berguna kepada keluarga, bangsa dan agama...Ameen!!!

5 Responses
  1. yg_indah Says:

    amin juga.nasihat utk aku xda ka?


  2. bacalah doa sebelem belayar...itu aje tips aku...heheheh


  3. yg_indah Says:

    belayar?aku belayar dlm tandas.muahahahhaha


  4. semoga Ahmad Afiq Sufyan sebaik emaknya dan tak seboroi ayahnya hahahaha

    ked:kalu dalam tandas bukan belayar..itu naik bot enjin sangkut huhuhuh..
    kalu sorg2 tu bukan belayar, itu merempit hahaha


  5. sapa kata ayah boroi, ayah dia toughla sekarang ni..hehehe


Post a Comment