Golongan Marhaen
...sambungan Siri 1 Kisah Cinta Zulaikha

Al-Aziz, suami Zulaikha kemudian mengikut isterinya dari belakang seraya berkata, "Aku membelinya daripada rombongan yang menemuinya di sebuah telaga di padang pasir. Berikan kepadanya tempat dan layanan yang baik, boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, ataupun kita anggap dia sebagai anak kita."

Zulaikha tidak mengetahui takdir apa yang bakal terjadi antara dia dan anak itu pada hari-hari yang mendatang. Yang jelas, dia amat senang dengan kehadiran Yusuf. Hilang segala kesedihan yang selama ini menghimpit dadanya.

Hari demi hari berlalu pergi. Tahun demi tahun silih berganti. Yusuf semakin membesar dan menjadi dewasa. Wajahnya semakin tampan. Zulaikha tidak mengerti apa perasaan yang meresap di hatinya setiap kali dia memandang ke arah Yusuf. Kesedihan yang menghantuinya hilang setiap kali terpandang wajah Yusuf.

Acapkali malam hari menjelang dan tatkala Yusuf memasuki kamar tidurnya, Zulaikha merasa ada sesuatu yang mengusik lubuk jiwanya, hinggakan kadangkala dia akan bangun meninggalkan suaminya yang sedang tidur untuk pergi ke pintu kamar Yusuf. Zulaikha hanya berdiri di hadapan pintu kamar Yusuf untuk beberapa ketika sebelum pulang ke kamarnya. Timbul keraguan dalam hatinya adakah sebaiknya dia masuk menemui Yusuf seperti yang diinginkannya, ataupun kembali ke tempatnya sendiri di samping suaminya? Fikiran seperti itu kerap mengganggu hatinya semalaman, hanya setelah sinar mentari pagi manampakkan cahayanya menerusi jendela-jendela kamarnya, barulah dia akan kembali ke kamarnya dan baring di sisi suaminya yang masih lena dibuai mimpi.

Setiap kali pandangannya bertentang mata dengan pandangan Yusuf, dia merasakan betapa kuatnya keinginan untuk selalu berada di samping pemuda itu dan tidak ingin berpisah buat selamanya. Namun, hati kecilnya kuat mengatakan bahawa Yusuf langsung tidak memendam perasaan terhadapnya. Persoalan demi persoalan bermain di mindanya. Apakah Yusuf memendam perasaaan terhadapnya seperti yang dirasakannya? Meskipun hati kecilnya mengatakan tidak, dia langsung tidak mahu mendengar apatah lagi menerima jawapan itu.

Pada suatu petang, Zulaikha sudah tidak berdaya lagi memendam perasaan cintanya terhadap Yusuf. Dia berdiri di hadapan cermin, mengagumi kecantikan rupa parasnya sambil bergumam kepada dirinya sendiri, "Adakah di seluruh Mesir ini, wanita yang kecantikannya melebihi kecantikanku, sehingga Yusuf menghindari diriku? Tidak boleh tidak, wahai Yusuf, hari ini aku akan menemuimu dengan segala macam pujukan dan rayuan, sehingga engkau tunduk kepadaku."

Kemudian dia membuka almari dan mengamati pakaiannya satu persatu. Dipilihnya sehelai gaun yang paling indah, berwarna merah dengan bentuk yang boleh membangkitkan ghairah insan bernama lelaki apabila memandangnya. Tatkala gaun tersebut disarungkan ke tubuhnya, jelas kelihatan sebahagian aurat yang seharusnya disembunyikan oleh seorang wanita. Tetapi itulah yang dikehendaki Zulaikha. Kemudian dia memakai wangi-wangian hampir di seluruh kujur tubuhnya yang pasti akan membangkitkan rasa ghairah lelaki apabila terhidu baunya. Disikat rambutnya dan dibentuk seindah-indahnya pada malam yang hening itu.

Selepas menyempurnakan dandanannya, Zulaikha mengamati keadaan di sekelilingnya. Hinggalah dia benar-benar yakin tidak ada seorang pun pelayannya yang masih menunggunya di situ. Dia tidak perlu risau tentang suaminya yang sedang sibuk memenuhi undangan seorang hakim Mesir dan sudahpun dipastikan olehnya bahawa tidak mungkin suaminya akan kembali kepadanya sebelum fajar tiba.

Dengan langkah yang perlahan dan senyap, Zulaikha menghampiri pintu kamar Yusuf. Didapati pintu kamar Yusuf bertutup dan lampunya telahpun dipadamkan. Dengan perlahan dan berhati-hati, Zulaikha mengetuk pintu kamar Yusuf....

...bersambung
Golongan Marhaen
Salam Sejahtera,
Pernah anda melihat filem Lady Boss lakonan si Saiful Apek dan Yusry KRU dulu tak? Ya, aku akui cerita itu memang lawak..lawak slapstik karya si pengarah terkenal tersebut.. Semasa menonton filem itu, terfikir jugak aku adakah semua lady boss (bos-bos wanita) berperangai sedemikian? Atau ia sekadar mitos dan cerita untuk menghiburkan penonton?
Sebenarnya, pengalaman aku bekerja di sini hampir 3 tahun bermacam-macam bos aku dah jumpa. Bertuahnya aku sebab pernah merasa menjadi anak buah seorang bos yang bergelar lelaki dan perempuan. Maklumlah kerja macam aku ni transferable untuk aku tak terkecuali dengan bos-bos sekali.
Sebenarnya bekerja dengan bos manapun sama aje. Semuanya bergantung kepada perangai dan sikap seseorang bos itu sendiri. Ada yang cepat melatah, ada yang tenang dalam kendalikan sesuatu keadaan. Akan tetapi, berdasarkan pengalaman aku akui kebanyakan lady boss ini dipengaruhi oleh emosi dan perasaan dalam membuat sesuatu keputusan. Kebanyakan ye, bukan semua.... sebabnya sekarang ni aku pun di bawah kendalian 2 orang lady boss. Kadang-kadang agak pening juga kepala melayan ragam, perintah dan arahan daripada mereka.
Baru-baru ini aku berkesempatan berjumpa dengan seorang temanku. Kebetulan beliau mempunyai bos perempuan yang kuat bekerja. Yang aku kesian, bos dia ni kalau boleh 24 jam tak habis-habis nak kacau dia. Sampai hari cuti pun dia terpaksa melayan karenah bosnya. Gelabah tak tentu pasal. Sampai member aku bercuti lama pun dia nak tunggu member aku barulah kerja dapat disiapkan. Nak dikatakan tak pandai buat kerja, takkanlah kot sebab dia bos. Unless dia naik pangkat bukan atas kelayakannya ataupun meritnya... Pelik tapi benar. Kesian member aku tu..
Lagi satu yang aku perasan tentang lady boss ni ialah dorang suka bercerita pada teman-teman mereka tentang hal ehwal pejabat. Kalau bercerita benda-benda yang baik takpelah, ini semua benda asyik nak duk bergosip. Kadang-kadang perihal peribadi anak buah pun boleh dijadikan topik. Alahai, macam-macam ragamlah manusia ni. Tapi nak buat macam mana, inilah namanya adat resam kehidupan.
Nak jadik garang pun susah, nak jadi lembut sangat pun susah. Pendek kata, kalau kita sendiri pun yang menjadi ketua atau bos, pasti ada saja anak-anak buah yang tak berpuas hati dengan kita. Yang penting amanah mesti dilaksanakan, tak gitu?
Adios...
Golongan Marhaen
Salam sejahtera,

"Apalah agaknya soalan yang ditanya nanti?Macam mana cara aku nak jawab soalan tersebut?". Ini merupakan persoalan yang biasa bermain di minda kita semua. Seorang pelajar pasti akan berdebar dan gemuruh sebelum memasuki dewan peperiksaan. Seorang yang ingin ditemuduga juga pasti akan berasa sedemikan di hadapan bilik temuduga. Akan tetapi adakah selalu kita ingat tentang soalan-soalan yang akan diajukan kepada kita oleh Sang Pencipta?


Aku ingin mengingatkan kepada diriku sendiri dan juga teman-teman bahawa sewaktu hidup kita, pada setiap detik, hirupan dan hembusan nafas serta denyutan jantung kita, selagi kita mengakui kita hambaNya, kita sebenarnya tidak akan terlepas untuk menjawab soalan-soalanNya kepada kita nanti. Jika betul jawapannya, maka baiklah balasan dan ganjaran yang bakal kita terima. Sebaliknya jika salah jawapan kita, maka balasan buruk dan seksa jua yang bakal kita terima.


Ringkasnya, hidup ini suatu UJIAN Allah pada hambaNya. Hidup inilah peperiksaan yang sebenar untuk kita. Kita sebenarnya masih lagi diuji sama ada lulus ataupun tidak di dalam 'peperiksaan' ini. Segalanya bergantung kepada setiap soalan yang diajukan kepada kita.


Teman-temanku sekalian,

Persoalannya benarkah hidup ini satu ujian? Jom kita jawab soalan-soalan berikut:-

Jika hidup ini satu ujian, siapakah pembuat soalannya?

Hidup ini ujian Allah untuk hamba-hambaNya. Maka sudah tentu pembuat soalannya adalah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Adil lagi Maha Berkuasa.

Jika hidup ini suatu ujian, siapakah yang akan menduduki ujian tersebut?

Kita hambaNya. Kitalah yang sedang menduduki ujian tersebut dan sedang menjawab soalan-soalan tersebut.

Bolehkah untuk kita memilih untuk tidak menduduki ujian ini?

Tidak. Kerana kita telahpun bersetuju untuk menjadi hambaNya.

Dimanakah tempat ujian tersebut?

Dunia ini tempatnya.

Bilakah masa bermulanya ujian untuk kita?

Kita mula dinilai dan diberikan markah apabila kita telah akil baligh. Masa ujian bermula turut melibatkan kewarasan dan ada antaranya yang melibatkan syarat-syarat lain seperti sampai had atau haulnya sepertimana hukum di dalam Fiqah contohnya zakat.

Bila tamatnya masa ujian tersebut?

Apabila kita telah tidak lagi bernyawa. Kita tidak perlu lagi menjawab soalan-soalan Allah kerana penilaian Allah terhenti di situ melainkan doa anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan.

Bila keputusan ujian diumumkan?

Selepas berlakunya Kiamat.

Dimanakah tempat untuk mengambil keputusan?

Di padang Mahsyar.

Jika kita lulus ujian apa ganjarannya?

Syurga balasannya.

Bagaimana jika kita gagal?

Nerakalah tempat kita akan dihumban ke dalamnya.

Apa yang melekat dan apa yang tidak melekat adalah ringkasan dan pendapat aku sendiri kepada bentuk-bentuk soalan Allah. Moga dengan istilah yang pelik tapi padat ini kalian akan sentiasa ingat pada setiap detik dan saat bahawa kita semua sedang berada dalam dewan peperiksaan 'DUNIA', sedang menduduki ujian daripada Allah dan sedang menjawab soalan-soalanNya sama ada kita sedari ataupun tidak.

Bentuk soalan Allah 'yang melekat' itu adalah diri kita sendiri. Dengan kata lain, diri kita sebenarnya adalah soalan Allah untuk kita. Maksud aku kesemua pancaindera yang melekat pada kita sebenarnya adalah soalan Allah untuk kita semua. Contohnya hati. Jika kita beribadah tetapi tidak ikhlas maka kita menjawab soalan Allah dengan salah. Begitu juga dengan mata kita jika menggunakannya untuk melihat perkara yang maksiat, maka salahlah jawapan kita. Tetapi jika kita menggunakan mata untuk membaca al-Quran, maka jawapan kita akan menjadi betul. Kemaluan pula seringkali menjadi penyebab dan punca ramainya manusia dihumban ke dalam neraka kerana disalahgunakan pada perkara yang tidak dihalalkan Islam.

Bentuk soalan 'yang tidak melekat' itu contohnya adalah seperti harta, anak-anak dan pekerjaan. Contohnya wang yang kita perolehi akan dipersoalkan dari mana sumbernya, adakah daripada rasuah atau sebagainya. Jika kita mendapatkannya melalui jalan yang haram, maka kita sebenarnya tidak menjawab soalan Allah dengan betul.

Selain itu, kita juga diberikan soalan pilihan atau soalan tambahan. Contohnya seoarang yang sudah mempunyai seorang isteri memilih untuk berpoligami. Maka dalam keadaan itu dia sebenarnya memilih untuk menjawab soalan tambahan daripada Allah berhubung dengan nafkah terhadap isteri kedua, ketiga atau keempatnya sama ada nafkah diberikan secara adil mahupun tidak.

Maka jelaslah begitu cantiknya agama Allah yang Maha Suci ini. Tidak sukar sebenarnya untuk kita memahami Islam dan menjawab soalan-soalan Allah jika kita benar-benar faham apakah soalan Allah dan apakah yang perlu kita jawab serta tindak balas kita apabila soalan itu datang kepada kita.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan kemudahan kepada kita untuk memahami Islam dengan lebih baik dan sentiasa menjawab soalan-soalanNya dengan TEPAT dan BETUL... Ameen.


Adios.

Golongan Marhaen


FIRMAN Allah S.WT;



"Dan wanita-wanita di kota berkata, "Isteri al-Aziz menggoda anak bujangnya supaya menundukkan diri kepadanya, 'Sesungguhnya cintanya kepada anak bujangnya itu sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata'".

Surah Yusuf (12;32)



Malam itu terasa sangat panas oleh Ra'il, wanita cantik yang biasa dipanggil dengan nama Zulaikha. Dia sentiasa menghias cantik rupa paras, menghias diri dan sentiasa memakai wangi-wangian. Kemudian dia berdiri, pagi dan petang di beranda istananya di atas Sungai Nil, dalam kegelisahan yang tidak jelas puncanya. Angin sepoi-sepoi bertiup tenang dan halus, seakan-akan enggan mengusik ranting-ranting pohon bunga yang mengelilingi beranda istana itu.

Zulaikha memandang ke arah sungai dan airnya yang tenang, dan sesekali wajahnya menoleh ke atas, melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit, mengelilingi bulan yang sebahagian sinarnya terhalang oleh awan.

Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampirinya dengan segelas jus buahan untuknya. Ditolaknya air tersebut dan diperintahkan pelayannya supaya kembali masuk ke dalam. Nafasnya semakin sesak, seolah-olah hampir mencekik lehernya. Dia sendiri tidak tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Kerana dia adalah wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu benar kerana sampai saat ini dia masih belum dikurniakan seorang anakpun.

Sebenarnya Zulaikha boleh sahaja mengambil anak angkat yang disukainya, kerana dia orang terkaya di negeri itu. Tetapi naluri keibuannya ternyata menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan melahirkan puteranya sendiri, sebagaimana wanita-wanita lain. Tapi suratan takdir mengkehendaki sesuatu yang lain, di mana suaminya sendiri tidak berkuasa mengubah impiannya menjadi kenyataan.

Fikirannya berkecamuk. Zulaikha terleka dalam lamunannya, sehingga suara halus suaminya tiba-tiba mengejutkannya. "Ra'il, isteriku yang cantik, bergembiralah!" Suaminya berkata sambil menunjukkan sesuatu kepadanya.

Zulaikha menoleh kepada suaminya, dan betapa terkejutnya ketika melihat suaminya datang bersama seorang anak kecil. "Siapa namamu?" tanya Zulaikha.

Dengan suara yang hampir-hampir tidak kedengaran anak itu menjawab,"Yusuf..."



bersambung...




Golongan Marhaen
Salam Sejahtera,
Hari ini dalam mahkamah hampir-hampir tercetus perbalahan yang besar antara seorang hakim dengan seorang peguam tua yang terkenal di sini. Masing-masing berbalas-balas soalan dan jawapan. Memang tak dinafikan daripada segi pengalaman, si hakim itu jauh lebih muda berbanding dengan peguam tua tersebut. Yang dah tua dan banyak berpengelaman seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada golongan muda yang baru nak belajar merangkak dan meniarap. Bukannya si hakim mahukan dirinya dihormati, tapi at least si peguam tua itu seharusnya menghormati mahkamah. Takkan perlu diajar adab dan tatacara masuk ke mahkamah semula. Tak gunala kalau dah mempunyai firma yang besar, pekerja yang ramai, pengalaman yang kononnya luas tapi benda basic macam itu pun perlu diajar kembali...
Si peguam tua dah mula bermain dengan emosinya. Dengan suara yang kuat serta bahasa yang agak kasar terus meminta dan mendesak si hakim. Mujurla aku lihat si hakim muda tenang mengawal keadaan. Setiap kenyataan yang dihamburkan dijawab dengan perlahan dan rasional hingga terkedu si peguam tidak berkata apa-apa. Hmm, akhirnya barulah kutahu punca sebenar perbalahan tersebut disebabkan peguam tua itu tidak berpuas hati dengan permohonan penangguhan sambung perbicaraan yang ditolak mentah-mentah oleh hakim itu. Permohonan itu dibuat oleh anaknya.Manakan tidak, datang nak minta tangguh sebab ada kes Mahkamah Rayuan tahun 2009, sedangkan sambung perbicaraan yang ditetapkan untuk kes tahun 2006.
Rupa-rupanya si peguam tua itu memang sudah lama tidak masuk ke mahkamah. Aku dapat tahu niatnya datang ke mahkamah untuk menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap hakim muda itu..orang macam ini pun ada ek..tapi aku bersetuju dengan soalan yang dihamburkan hakim itu yang membuatkan peguam tua itu tidak mampu berkata apa.
"Bicara bermaksud bicara, bila masa pulak tarikh bicara jadi tarikh untuk tangguh?"
"Datang bawak beg besar, jubah meleret-leret, bawak fail besar, duduk di kerusi empuk, duduk dalam aircond tapi datang untuk minta tangguh?"
Merah padam muka peguam tua itu...
Golongan Marhaen
Salam sejahtera,
Malam ini ketikaku sedang membaca novel, tiba-tiba tercetus suatu ilham yang tidak pernah pun aku fikirkan sebelum ini. Anda semua tentu sudah maklum bahawa kehidupanku yang agak terbatas dalam pergaulan membuatkan aku banyak menghabiskan masa dengan membaca dan menulis alasan penghakiman. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku berkarya dan berkongsi hasil nukilanku dengan teman-teman seperjuangan.
Selain berkongsi tentang pendapat dan pengalaman serta maklumat dalam kehidupan seharian, aku putuskan untuk berkongsi dengan anda semua tentang kisah-kisah rekaan dan benar dalam bentuk penulisanku sendiri. Mungkin ada kisah-kisah yang akanku coretkan bukanlah suatu kisah yang baru, tapi aku akan cuba menulis berdasarkan cara penceritaanku sendiri. Ruangan "Alkisah" ini sekadar suatu selingan selain memahirkan lagi diriku dalam bidang penulisan dan langsung tiada kena-mengena dengan diriku. Sokongan dan teguran dari teman-teman amat diharapkan. Semoga anda semua terhibur, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Maaf sekiranya hasil penulisanku tidak memuaskan kalian. Aku pedulik apa, yang penting aku puas! Hahaha...;p
Wassalam
Golongan Marhaen
Salam sejahtera,

Sebenarnya aku dah takde idea nak bagi tajuk apa tentang post aku ni. Tapi aku teringat tentang sms yang aku terima pagi tadi daripada seorang senior di pejabat. Smsnya berbunyi "Potong! Potong! Potong! Potong saja lembu itu." Ringkas tapi mempunyai maksud tersirat sebagai ucapan selamat menyambut Aidiladha. Tergelak kecil bila aku membaca sms tersebut. Amat unik dan kreatif.

Kali ini, aku cuma nak berkongsi tentang pengalamanku menyambut Aidiladha di Kelantan. Seumur hidupku, inilah kali pertama aku beraya di perantauan. Sebelum ini, aku pasti akan pulang ke Johor menyambut perayaaan bersama keluarga tidak kira perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Ketupat dan rendang ayam serta daging pasti akan menjadi hidangan rasmi keluargaku. Walaupun sambutan Aidiladaha taklah semeriah mana berbanding dengan sambutan Aidilfitri di Johor, hidangan ketupat dan rendang pasti tetap akan tersedia meskipun selepas je sembahyang raya semua akan lepak di depan tv atau ada yang tido balik. Berbeza dengan sambutan Aidilfitri yang sememangnya amat meriah di Johor. Dengan marhaban dan baraannya, hinggakan ada orang yang kata raya puasa di Johor adalah sebulan lamanya.

Akan tetapi, selama aku bercuti raya di Johor, perayaan Aidiladaha disambut agak dingin. Bagiku, perayaan ini tak tumpah seperti hari cuti yang biasa. Cukuplah sekadar ingatan dan teladan terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam. Akan tetapi, bila ditanya kepada rakan-rakan yang datang dari nun di Kelantan sana, bagi mereka tiada perayaan yang lebih meriah selain dari Aidiladha. Dari dulu aku memang tertanya-tanya bagaimana Aidiladha di sana boleh lebih meriah daripada Aidilfitri.

Hari ini, semua persoalan di benakku tentang perayaan korban di Kelantan terjawab juga akhirnya. Jika di Johor, pukul 8.30 pagi barula solat sunat akan dimulakan, itupun jika masjid telah dipenuhi dengan orang ramai. Tetapi di sini, pukul 7.45 aku telah bergegas ke masjid kerana solat sunat dimulakan awal. Hal yang demikian bagi memudahkan urusan korban yang akan dilakukan sejurus selepas menunaikan solat. Sesudah solat, aku terus menukar pakaian bersiap-siap untuk ke Kg Padang Embun bagi membantu upacara ibadah korban yang akan dijalankan.

Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, dapatlah aku menyumbang 2 bahagian daripada seekor lembu yang dijadikan korban pada hari itu. Di kaawasan tersebut terdapat 7 ekor lembu yang telah disediakan untuk ibadah korban. Begitu juga di tempat-tempat lain yang ada di antaranya hingga berpuluh ekor lembu dijadikan korban. Berbeza dengan sambutan Aidiladha di negeri-negeri lain, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di sekitar masjid. Tapi di sini, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di kawasan-kawasan perumahan kampung. Adalah satu kebetulan apabila aku bertemu dengan Zarifi (bekas Perseiden pelajar) yang beraya di rumah atuknya sewaktu kami sibuk melapah dan membahagi-bahagikan daging korban.

Setelah melihat dan mengalaminya sendiri, aku berpendapat menariknya sambutan Aidiladha di sini ialah semangat bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tidak mengira latar belakang keluarga ataupun asal usul selagimana beragama Islam. Baru sahaja bertemu dan bersua tetapi dilayan seperti keluarga. Perbezaan loghat atau dialek bukanlah penyebab jurang antara kami. Aku langsung tidak terasa seperti orang asing meski ini kali pertama menjejakkan kaki ke kawasan tersebut. Begitulah sebenarnya sepertimana yang dianjurkan oleh agama kita. Di sana aku sempat berkenalan dengan ramai orang termasukla seorang doktor bedah yang bertugas di HKL. Beliaulah yang bertanggungjawab mengeluarkan semua isi dalaman lembu korban dalam kumpulan kami. Selepas selesai melapah dan membahagi-bahagikan daging korban, kami dijamah makan nasi berlaukkan sup kambing dan daging goreng di sebuah rumah berdekatan yang aku pun tak kenal siapakah tuan rumahnya..

Mungkin bagi mereka yang berasal dari Kelantan, perkara ini adalah amat biasa terutamanya ketika sambutan Aidiladha setiap tahun. tetapi bagiku, segala persoalan telahpun terjawab tentang kemeriahan sambutan raya korban di sini. Aku nak tergelak bila melihat berita di Buletin Utama malam tadi tentang ibadah korban yang turut disertai oleh seorang artis. Padahal di Kelantan, ibadah tersebut telahpun dilaksanakan 2 hari yang lepas dan masayarakat di sana pada waktu ini sedanag rancak kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Memang patutla sambutan Aidiladha di sini tak sama dengan negeri-negeri lain.

Adios

P/S: Apapun, bersyukur sangat-sangat negara kita masih dapat lagi menyambut perayaan dengan aman tanpa bedilan peluru ataupun meriam.. Alhamdulillah..