Golongan Marhaen
Salam sejahtera,

Sebenarnya aku dah takde idea nak bagi tajuk apa tentang post aku ni. Tapi aku teringat tentang sms yang aku terima pagi tadi daripada seorang senior di pejabat. Smsnya berbunyi "Potong! Potong! Potong! Potong saja lembu itu." Ringkas tapi mempunyai maksud tersirat sebagai ucapan selamat menyambut Aidiladha. Tergelak kecil bila aku membaca sms tersebut. Amat unik dan kreatif.

Kali ini, aku cuma nak berkongsi tentang pengalamanku menyambut Aidiladha di Kelantan. Seumur hidupku, inilah kali pertama aku beraya di perantauan. Sebelum ini, aku pasti akan pulang ke Johor menyambut perayaaan bersama keluarga tidak kira perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Ketupat dan rendang ayam serta daging pasti akan menjadi hidangan rasmi keluargaku. Walaupun sambutan Aidiladaha taklah semeriah mana berbanding dengan sambutan Aidilfitri di Johor, hidangan ketupat dan rendang pasti tetap akan tersedia meskipun selepas je sembahyang raya semua akan lepak di depan tv atau ada yang tido balik. Berbeza dengan sambutan Aidilfitri yang sememangnya amat meriah di Johor. Dengan marhaban dan baraannya, hinggakan ada orang yang kata raya puasa di Johor adalah sebulan lamanya.

Akan tetapi, selama aku bercuti raya di Johor, perayaan Aidiladaha disambut agak dingin. Bagiku, perayaan ini tak tumpah seperti hari cuti yang biasa. Cukuplah sekadar ingatan dan teladan terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam. Akan tetapi, bila ditanya kepada rakan-rakan yang datang dari nun di Kelantan sana, bagi mereka tiada perayaan yang lebih meriah selain dari Aidiladha. Dari dulu aku memang tertanya-tanya bagaimana Aidiladha di sana boleh lebih meriah daripada Aidilfitri.

Hari ini, semua persoalan di benakku tentang perayaan korban di Kelantan terjawab juga akhirnya. Jika di Johor, pukul 8.30 pagi barula solat sunat akan dimulakan, itupun jika masjid telah dipenuhi dengan orang ramai. Tetapi di sini, pukul 7.45 aku telah bergegas ke masjid kerana solat sunat dimulakan awal. Hal yang demikian bagi memudahkan urusan korban yang akan dilakukan sejurus selepas menunaikan solat. Sesudah solat, aku terus menukar pakaian bersiap-siap untuk ke Kg Padang Embun bagi membantu upacara ibadah korban yang akan dijalankan.

Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, dapatlah aku menyumbang 2 bahagian daripada seekor lembu yang dijadikan korban pada hari itu. Di kaawasan tersebut terdapat 7 ekor lembu yang telah disediakan untuk ibadah korban. Begitu juga di tempat-tempat lain yang ada di antaranya hingga berpuluh ekor lembu dijadikan korban. Berbeza dengan sambutan Aidiladha di negeri-negeri lain, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di sekitar masjid. Tapi di sini, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di kawasan-kawasan perumahan kampung. Adalah satu kebetulan apabila aku bertemu dengan Zarifi (bekas Perseiden pelajar) yang beraya di rumah atuknya sewaktu kami sibuk melapah dan membahagi-bahagikan daging korban.

Setelah melihat dan mengalaminya sendiri, aku berpendapat menariknya sambutan Aidiladha di sini ialah semangat bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tidak mengira latar belakang keluarga ataupun asal usul selagimana beragama Islam. Baru sahaja bertemu dan bersua tetapi dilayan seperti keluarga. Perbezaan loghat atau dialek bukanlah penyebab jurang antara kami. Aku langsung tidak terasa seperti orang asing meski ini kali pertama menjejakkan kaki ke kawasan tersebut. Begitulah sebenarnya sepertimana yang dianjurkan oleh agama kita. Di sana aku sempat berkenalan dengan ramai orang termasukla seorang doktor bedah yang bertugas di HKL. Beliaulah yang bertanggungjawab mengeluarkan semua isi dalaman lembu korban dalam kumpulan kami. Selepas selesai melapah dan membahagi-bahagikan daging korban, kami dijamah makan nasi berlaukkan sup kambing dan daging goreng di sebuah rumah berdekatan yang aku pun tak kenal siapakah tuan rumahnya..

Mungkin bagi mereka yang berasal dari Kelantan, perkara ini adalah amat biasa terutamanya ketika sambutan Aidiladha setiap tahun. tetapi bagiku, segala persoalan telahpun terjawab tentang kemeriahan sambutan raya korban di sini. Aku nak tergelak bila melihat berita di Buletin Utama malam tadi tentang ibadah korban yang turut disertai oleh seorang artis. Padahal di Kelantan, ibadah tersebut telahpun dilaksanakan 2 hari yang lepas dan masayarakat di sana pada waktu ini sedanag rancak kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Memang patutla sambutan Aidiladha di sini tak sama dengan negeri-negeri lain.

Adios

P/S: Apapun, bersyukur sangat-sangat negara kita masih dapat lagi menyambut perayaan dengan aman tanpa bedilan peluru ataupun meriam.. Alhamdulillah..


0 Responses

Post a Comment