Golongan Marhaen
Salam sejahtera,

"Apalah agaknya soalan yang ditanya nanti?Macam mana cara aku nak jawab soalan tersebut?". Ini merupakan persoalan yang biasa bermain di minda kita semua. Seorang pelajar pasti akan berdebar dan gemuruh sebelum memasuki dewan peperiksaan. Seorang yang ingin ditemuduga juga pasti akan berasa sedemikan di hadapan bilik temuduga. Akan tetapi adakah selalu kita ingat tentang soalan-soalan yang akan diajukan kepada kita oleh Sang Pencipta?


Aku ingin mengingatkan kepada diriku sendiri dan juga teman-teman bahawa sewaktu hidup kita, pada setiap detik, hirupan dan hembusan nafas serta denyutan jantung kita, selagi kita mengakui kita hambaNya, kita sebenarnya tidak akan terlepas untuk menjawab soalan-soalanNya kepada kita nanti. Jika betul jawapannya, maka baiklah balasan dan ganjaran yang bakal kita terima. Sebaliknya jika salah jawapan kita, maka balasan buruk dan seksa jua yang bakal kita terima.


Ringkasnya, hidup ini suatu UJIAN Allah pada hambaNya. Hidup inilah peperiksaan yang sebenar untuk kita. Kita sebenarnya masih lagi diuji sama ada lulus ataupun tidak di dalam 'peperiksaan' ini. Segalanya bergantung kepada setiap soalan yang diajukan kepada kita.


Teman-temanku sekalian,

Persoalannya benarkah hidup ini satu ujian? Jom kita jawab soalan-soalan berikut:-

Jika hidup ini satu ujian, siapakah pembuat soalannya?

Hidup ini ujian Allah untuk hamba-hambaNya. Maka sudah tentu pembuat soalannya adalah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Adil lagi Maha Berkuasa.

Jika hidup ini suatu ujian, siapakah yang akan menduduki ujian tersebut?

Kita hambaNya. Kitalah yang sedang menduduki ujian tersebut dan sedang menjawab soalan-soalan tersebut.

Bolehkah untuk kita memilih untuk tidak menduduki ujian ini?

Tidak. Kerana kita telahpun bersetuju untuk menjadi hambaNya.

Dimanakah tempat ujian tersebut?

Dunia ini tempatnya.

Bilakah masa bermulanya ujian untuk kita?

Kita mula dinilai dan diberikan markah apabila kita telah akil baligh. Masa ujian bermula turut melibatkan kewarasan dan ada antaranya yang melibatkan syarat-syarat lain seperti sampai had atau haulnya sepertimana hukum di dalam Fiqah contohnya zakat.

Bila tamatnya masa ujian tersebut?

Apabila kita telah tidak lagi bernyawa. Kita tidak perlu lagi menjawab soalan-soalan Allah kerana penilaian Allah terhenti di situ melainkan doa anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan.

Bila keputusan ujian diumumkan?

Selepas berlakunya Kiamat.

Dimanakah tempat untuk mengambil keputusan?

Di padang Mahsyar.

Jika kita lulus ujian apa ganjarannya?

Syurga balasannya.

Bagaimana jika kita gagal?

Nerakalah tempat kita akan dihumban ke dalamnya.

Apa yang melekat dan apa yang tidak melekat adalah ringkasan dan pendapat aku sendiri kepada bentuk-bentuk soalan Allah. Moga dengan istilah yang pelik tapi padat ini kalian akan sentiasa ingat pada setiap detik dan saat bahawa kita semua sedang berada dalam dewan peperiksaan 'DUNIA', sedang menduduki ujian daripada Allah dan sedang menjawab soalan-soalanNya sama ada kita sedari ataupun tidak.

Bentuk soalan Allah 'yang melekat' itu adalah diri kita sendiri. Dengan kata lain, diri kita sebenarnya adalah soalan Allah untuk kita. Maksud aku kesemua pancaindera yang melekat pada kita sebenarnya adalah soalan Allah untuk kita semua. Contohnya hati. Jika kita beribadah tetapi tidak ikhlas maka kita menjawab soalan Allah dengan salah. Begitu juga dengan mata kita jika menggunakannya untuk melihat perkara yang maksiat, maka salahlah jawapan kita. Tetapi jika kita menggunakan mata untuk membaca al-Quran, maka jawapan kita akan menjadi betul. Kemaluan pula seringkali menjadi penyebab dan punca ramainya manusia dihumban ke dalam neraka kerana disalahgunakan pada perkara yang tidak dihalalkan Islam.

Bentuk soalan 'yang tidak melekat' itu contohnya adalah seperti harta, anak-anak dan pekerjaan. Contohnya wang yang kita perolehi akan dipersoalkan dari mana sumbernya, adakah daripada rasuah atau sebagainya. Jika kita mendapatkannya melalui jalan yang haram, maka kita sebenarnya tidak menjawab soalan Allah dengan betul.

Selain itu, kita juga diberikan soalan pilihan atau soalan tambahan. Contohnya seoarang yang sudah mempunyai seorang isteri memilih untuk berpoligami. Maka dalam keadaan itu dia sebenarnya memilih untuk menjawab soalan tambahan daripada Allah berhubung dengan nafkah terhadap isteri kedua, ketiga atau keempatnya sama ada nafkah diberikan secara adil mahupun tidak.

Maka jelaslah begitu cantiknya agama Allah yang Maha Suci ini. Tidak sukar sebenarnya untuk kita memahami Islam dan menjawab soalan-soalan Allah jika kita benar-benar faham apakah soalan Allah dan apakah yang perlu kita jawab serta tindak balas kita apabila soalan itu datang kepada kita.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan kemudahan kepada kita untuk memahami Islam dengan lebih baik dan sentiasa menjawab soalan-soalanNya dengan TEPAT dan BETUL... Ameen.


Adios.

Golongan Marhaen


FIRMAN Allah S.WT;



"Dan wanita-wanita di kota berkata, "Isteri al-Aziz menggoda anak bujangnya supaya menundukkan diri kepadanya, 'Sesungguhnya cintanya kepada anak bujangnya itu sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata'".

Surah Yusuf (12;32)



Malam itu terasa sangat panas oleh Ra'il, wanita cantik yang biasa dipanggil dengan nama Zulaikha. Dia sentiasa menghias cantik rupa paras, menghias diri dan sentiasa memakai wangi-wangian. Kemudian dia berdiri, pagi dan petang di beranda istananya di atas Sungai Nil, dalam kegelisahan yang tidak jelas puncanya. Angin sepoi-sepoi bertiup tenang dan halus, seakan-akan enggan mengusik ranting-ranting pohon bunga yang mengelilingi beranda istana itu.

Zulaikha memandang ke arah sungai dan airnya yang tenang, dan sesekali wajahnya menoleh ke atas, melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit, mengelilingi bulan yang sebahagian sinarnya terhalang oleh awan.

Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampirinya dengan segelas jus buahan untuknya. Ditolaknya air tersebut dan diperintahkan pelayannya supaya kembali masuk ke dalam. Nafasnya semakin sesak, seolah-olah hampir mencekik lehernya. Dia sendiri tidak tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Kerana dia adalah wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu benar kerana sampai saat ini dia masih belum dikurniakan seorang anakpun.

Sebenarnya Zulaikha boleh sahaja mengambil anak angkat yang disukainya, kerana dia orang terkaya di negeri itu. Tetapi naluri keibuannya ternyata menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan melahirkan puteranya sendiri, sebagaimana wanita-wanita lain. Tapi suratan takdir mengkehendaki sesuatu yang lain, di mana suaminya sendiri tidak berkuasa mengubah impiannya menjadi kenyataan.

Fikirannya berkecamuk. Zulaikha terleka dalam lamunannya, sehingga suara halus suaminya tiba-tiba mengejutkannya. "Ra'il, isteriku yang cantik, bergembiralah!" Suaminya berkata sambil menunjukkan sesuatu kepadanya.

Zulaikha menoleh kepada suaminya, dan betapa terkejutnya ketika melihat suaminya datang bersama seorang anak kecil. "Siapa namamu?" tanya Zulaikha.

Dengan suara yang hampir-hampir tidak kedengaran anak itu menjawab,"Yusuf..."



bersambung...




Golongan Marhaen
Salam Sejahtera,
Hari ini dalam mahkamah hampir-hampir tercetus perbalahan yang besar antara seorang hakim dengan seorang peguam tua yang terkenal di sini. Masing-masing berbalas-balas soalan dan jawapan. Memang tak dinafikan daripada segi pengalaman, si hakim itu jauh lebih muda berbanding dengan peguam tua tersebut. Yang dah tua dan banyak berpengelaman seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada golongan muda yang baru nak belajar merangkak dan meniarap. Bukannya si hakim mahukan dirinya dihormati, tapi at least si peguam tua itu seharusnya menghormati mahkamah. Takkan perlu diajar adab dan tatacara masuk ke mahkamah semula. Tak gunala kalau dah mempunyai firma yang besar, pekerja yang ramai, pengalaman yang kononnya luas tapi benda basic macam itu pun perlu diajar kembali...
Si peguam tua dah mula bermain dengan emosinya. Dengan suara yang kuat serta bahasa yang agak kasar terus meminta dan mendesak si hakim. Mujurla aku lihat si hakim muda tenang mengawal keadaan. Setiap kenyataan yang dihamburkan dijawab dengan perlahan dan rasional hingga terkedu si peguam tidak berkata apa-apa. Hmm, akhirnya barulah kutahu punca sebenar perbalahan tersebut disebabkan peguam tua itu tidak berpuas hati dengan permohonan penangguhan sambung perbicaraan yang ditolak mentah-mentah oleh hakim itu. Permohonan itu dibuat oleh anaknya.Manakan tidak, datang nak minta tangguh sebab ada kes Mahkamah Rayuan tahun 2009, sedangkan sambung perbicaraan yang ditetapkan untuk kes tahun 2006.
Rupa-rupanya si peguam tua itu memang sudah lama tidak masuk ke mahkamah. Aku dapat tahu niatnya datang ke mahkamah untuk menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap hakim muda itu..orang macam ini pun ada ek..tapi aku bersetuju dengan soalan yang dihamburkan hakim itu yang membuatkan peguam tua itu tidak mampu berkata apa.
"Bicara bermaksud bicara, bila masa pulak tarikh bicara jadi tarikh untuk tangguh?"
"Datang bawak beg besar, jubah meleret-leret, bawak fail besar, duduk di kerusi empuk, duduk dalam aircond tapi datang untuk minta tangguh?"
Merah padam muka peguam tua itu...