Golongan Marhaen
Salam sejahtera,
Malam ini ketikaku sedang membaca novel, tiba-tiba tercetus suatu ilham yang tidak pernah pun aku fikirkan sebelum ini. Anda semua tentu sudah maklum bahawa kehidupanku yang agak terbatas dalam pergaulan membuatkan aku banyak menghabiskan masa dengan membaca dan menulis alasan penghakiman. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku berkarya dan berkongsi hasil nukilanku dengan teman-teman seperjuangan.
Selain berkongsi tentang pendapat dan pengalaman serta maklumat dalam kehidupan seharian, aku putuskan untuk berkongsi dengan anda semua tentang kisah-kisah rekaan dan benar dalam bentuk penulisanku sendiri. Mungkin ada kisah-kisah yang akanku coretkan bukanlah suatu kisah yang baru, tapi aku akan cuba menulis berdasarkan cara penceritaanku sendiri. Ruangan "Alkisah" ini sekadar suatu selingan selain memahirkan lagi diriku dalam bidang penulisan dan langsung tiada kena-mengena dengan diriku. Sokongan dan teguran dari teman-teman amat diharapkan. Semoga anda semua terhibur, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Maaf sekiranya hasil penulisanku tidak memuaskan kalian. Aku pedulik apa, yang penting aku puas! Hahaha...;p
Wassalam
Golongan Marhaen
Salam sejahtera,

Sebenarnya aku dah takde idea nak bagi tajuk apa tentang post aku ni. Tapi aku teringat tentang sms yang aku terima pagi tadi daripada seorang senior di pejabat. Smsnya berbunyi "Potong! Potong! Potong! Potong saja lembu itu." Ringkas tapi mempunyai maksud tersirat sebagai ucapan selamat menyambut Aidiladha. Tergelak kecil bila aku membaca sms tersebut. Amat unik dan kreatif.

Kali ini, aku cuma nak berkongsi tentang pengalamanku menyambut Aidiladha di Kelantan. Seumur hidupku, inilah kali pertama aku beraya di perantauan. Sebelum ini, aku pasti akan pulang ke Johor menyambut perayaaan bersama keluarga tidak kira perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Ketupat dan rendang ayam serta daging pasti akan menjadi hidangan rasmi keluargaku. Walaupun sambutan Aidiladaha taklah semeriah mana berbanding dengan sambutan Aidilfitri di Johor, hidangan ketupat dan rendang pasti tetap akan tersedia meskipun selepas je sembahyang raya semua akan lepak di depan tv atau ada yang tido balik. Berbeza dengan sambutan Aidilfitri yang sememangnya amat meriah di Johor. Dengan marhaban dan baraannya, hinggakan ada orang yang kata raya puasa di Johor adalah sebulan lamanya.

Akan tetapi, selama aku bercuti raya di Johor, perayaan Aidiladaha disambut agak dingin. Bagiku, perayaan ini tak tumpah seperti hari cuti yang biasa. Cukuplah sekadar ingatan dan teladan terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam. Akan tetapi, bila ditanya kepada rakan-rakan yang datang dari nun di Kelantan sana, bagi mereka tiada perayaan yang lebih meriah selain dari Aidiladha. Dari dulu aku memang tertanya-tanya bagaimana Aidiladha di sana boleh lebih meriah daripada Aidilfitri.

Hari ini, semua persoalan di benakku tentang perayaan korban di Kelantan terjawab juga akhirnya. Jika di Johor, pukul 8.30 pagi barula solat sunat akan dimulakan, itupun jika masjid telah dipenuhi dengan orang ramai. Tetapi di sini, pukul 7.45 aku telah bergegas ke masjid kerana solat sunat dimulakan awal. Hal yang demikian bagi memudahkan urusan korban yang akan dilakukan sejurus selepas menunaikan solat. Sesudah solat, aku terus menukar pakaian bersiap-siap untuk ke Kg Padang Embun bagi membantu upacara ibadah korban yang akan dijalankan.

Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, dapatlah aku menyumbang 2 bahagian daripada seekor lembu yang dijadikan korban pada hari itu. Di kaawasan tersebut terdapat 7 ekor lembu yang telah disediakan untuk ibadah korban. Begitu juga di tempat-tempat lain yang ada di antaranya hingga berpuluh ekor lembu dijadikan korban. Berbeza dengan sambutan Aidiladha di negeri-negeri lain, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di sekitar masjid. Tapi di sini, upacara korban dan melapah daging hanya dijalankan di kawasan-kawasan perumahan kampung. Adalah satu kebetulan apabila aku bertemu dengan Zarifi (bekas Perseiden pelajar) yang beraya di rumah atuknya sewaktu kami sibuk melapah dan membahagi-bahagikan daging korban.

Setelah melihat dan mengalaminya sendiri, aku berpendapat menariknya sambutan Aidiladha di sini ialah semangat bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tidak mengira latar belakang keluarga ataupun asal usul selagimana beragama Islam. Baru sahaja bertemu dan bersua tetapi dilayan seperti keluarga. Perbezaan loghat atau dialek bukanlah penyebab jurang antara kami. Aku langsung tidak terasa seperti orang asing meski ini kali pertama menjejakkan kaki ke kawasan tersebut. Begitulah sebenarnya sepertimana yang dianjurkan oleh agama kita. Di sana aku sempat berkenalan dengan ramai orang termasukla seorang doktor bedah yang bertugas di HKL. Beliaulah yang bertanggungjawab mengeluarkan semua isi dalaman lembu korban dalam kumpulan kami. Selepas selesai melapah dan membahagi-bahagikan daging korban, kami dijamah makan nasi berlaukkan sup kambing dan daging goreng di sebuah rumah berdekatan yang aku pun tak kenal siapakah tuan rumahnya..

Mungkin bagi mereka yang berasal dari Kelantan, perkara ini adalah amat biasa terutamanya ketika sambutan Aidiladha setiap tahun. tetapi bagiku, segala persoalan telahpun terjawab tentang kemeriahan sambutan raya korban di sini. Aku nak tergelak bila melihat berita di Buletin Utama malam tadi tentang ibadah korban yang turut disertai oleh seorang artis. Padahal di Kelantan, ibadah tersebut telahpun dilaksanakan 2 hari yang lepas dan masayarakat di sana pada waktu ini sedanag rancak kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Memang patutla sambutan Aidiladha di sini tak sama dengan negeri-negeri lain.

Adios

P/S: Apapun, bersyukur sangat-sangat negara kita masih dapat lagi menyambut perayaan dengan aman tanpa bedilan peluru ataupun meriam.. Alhamdulillah..


Golongan Marhaen
Salam Sejahtera,
Aku amat tertarik dengan sebuah cerita rekaan yang sarat dengan mesej pengajaran untuk diriku. Sebenarnya cerita ni dah 2-3 kali aku dengar semasa mengikuti program motivasi dan jati diri. Aku percaya anda semua juga pernah mendengar tentang cerita ini. Bagi yang belum mengetahui tentang cerita ini, diharap mesej di sebalik kisah ini dapat dijadikan pengajaran..
Alkisahnya...
Suatu hari seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan telah menumpang sebuah sampan. Si Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Memang niat sang Professor mencari seorang pendayung yang pendiam agar tidak banyak persoalan diajukan ketika dia sedang membuat kajian. Dengan begitu tekun, sang Professor meneruskan kajiannya. Diambilnya sedikit air laut yang kemudiannya diisi ke dalam tabung uji sambil digoyang-goyangkannya. Selepas itu dia menulis sesuatu ke dalam buku catitannya.
Berjam-jam lamanya sang Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Si Pendayung kemudiannya mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya tercetus di mulutnya,
"Hmm, nampaknya hari nak hujan.."
"Baiklah, semua sudah siap, jom kita balik ke darat" kata sang Professor itu.
Si pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. hanya dalam perjalanan pulang sahaja barulah sang Professor membuka mulutnya untuk menegur si Pendayung sampan tersebut.
"Dah lama ke kamu kerja mendayung sampan ni?"
"Hampir seumur hidup saya Prof" jawab si Pendayung ringkas.
"Seumur hidup kamu?" tanya sang Professor sambil membeliakkan matanya tanda tak percaya.
"Ya", balas si Pendayung.
"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain mendayung sampan?" sindir sang Professor. Si Pendayung hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Masih tidak berpuas hati, sang Professor bertanya lagi,
"Kamu tahu tentang Geografi?".
Si Pendayung hanya mengggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.
"Kalau macam tu, kamu dah kehilangan dan rugi 25% dari kehidupan kamu." Tanya sang Professor lagi, "Kamu tahu serba sedikit tentang Biologi?"
Si Pendayung menggelengkan kepalanya lagi.
"Kasihan. Kamu dah kehilangan 50% dari usia kamu." sindir Sang Professor tersebut. Bertanya lagi sang Professor, "Kamu mesti tahu pasal ilmu Hisab kan?".
Sekali lagi si Pendayung menggelengkan kepalanya.
Sambil tersenyum sinis sang Professor berkata, "Kalau beginilah kehidupan kamu, kasihan sebab kamu sudah rugi dan kehilangan 75% dari kehidupan kamu. Malang sunnguh nasib kamu, semuanya kamu tak tahu. Ilmu Hisab yang mudah macam itupun kamu tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan dengan sia-sia sahaja dan tak berguna kehidupan kamu jika tahu hanya tahu tentang cara mendayung sampan je," kata sang Professor dengan nada sinis dan angkuh. Si Pendayung hanya diam tersenyum sambil meneruskan pendayungannya.
Selang beberapa minit, hujan mulai turun dan angin bertiup dengan kuat. Teroleng-oleng sampan yang dinaiki mereka dilambung ombak. Tidak semena-mena, sampan yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak. Sang Professor dan si Pendayung cuma berpaut pada sekeping serpihan sampan mereka yang pecah dipukul ombak tersebut. Tercungap-cungap sang Professor berpaut pada serpihan tersebut yang kian jauh dibawa arus. Si Pendayung juga berpaut pada serpihan yang sama dengan tenang sekali. Sempat si Pendayung bertanya kepada sang Professor sebelum melepaskan pautannya pada serpihan tersebut,
"Tuan Professor tahu berenang?"
Dengan muka panik, sang Professor mengggelengkan kepalanya. Si Pendayung kemudiannya membalas,
"Kalau begitu, Tuan telah rugi dan kehilangan 100% kehidupan Tuan," kata si Pendayung sambil berenang menuju ke pantai meninggalkan sang Professor yang terkapai-kapai pada serpihan sampan tersebut.
Moral Kisah Ini Untukku:
Dalam hidup ini, jaminan hidup bukan atas pelajaran yang tinggi semata-mata. Sebaliknya ada benda yang kita tak boleh belajar melalui buku tetapi terpaksa menghadapinya melalui pengalaman hidup.
Janganlah kita memandang rendah pada orang lain semata-mata kita menjawat jawatan yang tinggi daripada mereka. Jangan juga dipandang rendah mereka yang kurang berpelajaran daripada kita. Adakalanya mereka yang kurang berpelajaran itulah sebenarnya lebih berjaya daripada kita. Pengalaman yang dimiliki oleh setiap orang berbeza-beza. Kadang-kadang kita perlu belajar dari mereka yang pernah mengalami apa yang belum kita alami.
Hidup ini singkat, jadi tanyalah pada diri kita...untuk apakah ilmu yang kita pelajari jika bukan untuk digunakan dan boleh digunakan?
Hikmah Inspirasi: Kepuasan itu terletak pada usaha dan bukannya pada pencapaian. USaha yang sempurna adalah untuk kemenangan yang sempurna...
Adios

Golongan Marhaen


Salam Sejahtera,

Manusia mempunyai dua sifat semulajadi iaitu zalim dan adil. Kedua-dua sifat ini menyebabkan mereka sesat dan tidak melaksanakan amanah Allah Taala. Akibatnya mereka hidup dalam keadaan kufur dan tidak aman. Untuk menyelamatkan mereka daripada keadaan tersebut Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui memberi hidayah dengan menurunkan Al-Quran dan mengutuskan Rasul supaya mereka dapat berlaku adil dan mempunyai ilmu untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Ayat Al-Quran berikut merakamkan kenyataan di atas:
(Surah Al-Ahzab ayat 72) Ertinya:

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

(Surah Al-Baqarah ayat 213) Ertinya:

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci yang tersebut itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, ( Mereka berselisih ) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman kearah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinnya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahnya kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang betul dan lurus (mengikut undang-undang peraturannya).


PENGERTIAN ADIL

Terdapat beberapa pengertian yang di buat oleh Ulama’ tentang adil:

1. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.
2. Adil bererti menerima hak tanpa lebih dan memberikan hak orang lain tanpa kurang.
3. Adil bererti memberi hak setiap orang yang berhak tanpa lebih dan tanpa kurang sesama orang yang berhak dan menghukum orang yang jahat atau melanggar hukum setara dengan kesalahannya.

Daripada ketiga-tiga pengertian yang tersebut dapatlah dirumuskan bahawa keadilan itu:

1. Menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain).
2. Menghapuskan kezaliman.
3. Melaksanakan hukum dengan saksama.
4. Memastikan orang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa dan orang yang lemah tidak teraniaya.



ADIL KEPADA DIRI SENDIRI

Menurut Islam keadilan dan kezaliman boleh berlaku pada diri sendiri dan pada orang lain. Asas keadilan pada diri sendiri ialah iman, amal Soleh dan akhlak mulia. Asas kezaliman pada diri sendiri pula ialah kufur, maksiat dan akhlak yang hina. Selain itu setiap orang hendaklah menjaga hak, keperluan dan kehormatan diri sendiri iaitu hak keperluan dan kehormatan rohani dan jasmani. Sebab itu orang Islam di larang daripada membiarkan diri teraniaya.

Firman Allah Taala: (Surah Al Baqarah Ayat 195) Ertinya:

Dan belanjakan ( apa yang ada pada kamu ) kerana ( menegakkan ) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan sikap bakhil) dan perbaikilah ( dengan sebaik-baiknya segala usaha dan ) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.

Lebih utama lagi, bagi menegakkan keadilan pada diri sendiri seseorang itu hendaklah berani mengakui kesalahan dirinya sendiri dan bersedia menerima akibat daripada kesalahan tersebut. Keadilan pada diri sendiri itu dapat dipelihara apabila seseorang itu mempunyai ilmu tentang yang benar (hak) dan yang salah (batil), tentang yang baik dan yang buruk, tentang yang berguna dan sia-sia. Orang yang beriman dan menyedari akan hakikat diri dan amalannya akan sentiasa berdoa kepada Allah Taala seperi doa Nabi Adam Alahissalam.

( Surah Al A’raf Ayat 23 ) Ertinya:

Mereka berdua merayu : “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami orang-orang yang rugi.”

Sabda Rasullallah Sallallahu Alaihi Wasallam; Ertinya:
Berlaku adillah walaupun ke atas diri kamu.

Orang yang tidak beriman dan orang yang melakukan maksiat sebenarnya orang yang zalim kepada diri sendiri kerana mereka tidak akan terlepas daripada hukuman Allah Taala di dunia dan di akhirat disebabkan mereka tidak mahu menyahut seruan Islam dan tidak patuh kepada hukum yang ditentukan oleh Allah Taala.



ADIL KEPADA ORANG LAIN

Keadilan kepada orang lain berasaskan penyempurnaan hak mereka dan melaksanakan hukum secara saksama antara mereka, membela orang yang teraniaya dan menghukum orang yang bersalah. Ini berdasarkan ayat Al-Quran:

(Surah An Nahl Ayat 90) Ertinya:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan larangannya ini ), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.

(Surah Al Maidah Ayat 42) Ertinya:
Dan jika engkau nenghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.


Asas bagi melaksanakan keadilan kepada orang lain ialah:

1. Iman dan takwa kepada Allah.
2. Amanah, bertanggungjawab dan Ihsan.
3. Ilmu dan kebenaran bersumberkan Al-Quran, hadis, Ijmak dan qias.
4. Berpandukan kaedah atau prosedur melaksanakan hukum atau undang-undang.

Tanpa berpegang pada asas (prinsip) yang tersebut manusia boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kebendaan sehigga mereka sanggup melakukan kezaliman dlam pelaksanaan keadilan iaitu:

1. Orang yang lemah tidak mendapat haknya dan orang yang kuat merampas hak orang yang lemah.
2. Orang yang bersalah bebas daripada hukuman dan orang yang tidak bersalah teraniaya.
3. Hukum tidak berlandaskan kebenaran dan keadilan, tetapi berlandaskan kekuasaan dan kepentingan tertentu.


SIFAT ORANG YANG ADIL

Antara sifat-sifat orang (hakim) yang dapat berlaku adil.

1. Mempunyai iman yang kukuh dan bertakwa kepada Allah Taala.
2. Menguasai ilmu syariat dan ilmu Aqliah.
3. Melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
4. Ikhlas dan bertawakal kepada Allah Taala.
5. Berperibadi mulia iaitu:

* tidak mementingkan diri sendiri.
* berperikemanusiaan dan belas Ihsan.Â
* bijak dan tegas.
* berani menghadapi risiko.

Sabda Rasullalahi Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud :

(Hakim) itu tiga jenis ; dua daripadanya masuk ke Neraka dan satu daripadanya masuk ke Syurga. Lelaki (hakim) yang tahu perkara yang benar, lalu ia menghukum berlandaskan kebenaran tersebut, maka ia masuk ke Syurga. Dan lelaki (hakim) yang tidak tahu perkara yang benar, lalu ia menjalankan hukuman atas kejahilannya,maka ia masuk ke Neraka.




Semoga apa yang daku coretkan ini memberi peringatan untuk diriku sendiri terutamanya dan teman-teman yang lain.



Adios.
Golongan Marhaen

Salam Sejahtera,

Cendol...salah satu santapan yang unik di negara kita. Amat rugi bagi mereka yang tak merasa betapa lazatnya hidangan ini terutama ketika teriknya cuaca. Aku tak nafikan terdapat pelbagai jenis cendol yang telah diubahsuai kandungannya dengan tujuan menarik pelanggan. Seumur hidupku, cuma beberapa tempat yang menjalankan perniagaan menjual cendol mampu memberi kesan kepadaku dek rasanya yang lazat dan sedap.

Aku terpanggil untuk menulis tentang cendol ini berdasarkan pengalaman aku sendiri pada minggu lepas ketika pulang ke Putrajaya bersama seorang rakan. Kami ambil keputusan untuk melalui jalan biasa tanpa melalui highway dari Melaka. Aku percaya ada di antara kita yang pernah mendengar cerita tentang kedai cendol Leman Dawi yang terkenal di Negeri Sembilan. Aku pun hanya dapat tahu mengenainya setelah menonton Majalah 3 yang membuat rencana eksklusif tentangnya. Tertanya-tanya juga aku sedap sangatkah cendol di kedai tersebut hingga boleh masuk dalam rancangan istimewa di televisyen.

Terletak di jalan Rembau-Senawang, aku dapati memang ramai orang berkunjung ke kedai tersebut. Tak putus-putus kenderaan yang keluar masuk di laman kedai tersebut sehingga aku dan rakanku terpaksa menikmati cendol di bawah pondok yang disediakan di luar kedai tersebut. Terdapat pelbagai jenis cendol yang dijual pada harga yang amat murah; cendol pulut, cendol jagung dll. Setelah membayar RM1.50 untuk cendol pulut, aku dan rakanku terpaksa duduk di pondok berdekatan memandangkan keseluruhan tempat duduk telah dipenuhi orang ramai.


Saat pertama aku merasa cendol pulut Leman Dawi yang terkenal itu, tiada apa yang istimewa bagiku. Dengan rasa yang tawar, ditambah lagi dengan pulutnya yang keras aku rasa agak terkilan kerana indah khabar dari rupa. Bagiku, cendol di Melaka adalah 10 kali lebih baik dari apa yang ada di sini. Aku terkenang saat menikmati cendol bersama sahabatku sopi di Bukit Mahkota tak lama dulu. Rasa cendol di sana pun teramat baik dari cendol yang ada di kedai yang terkenal ini.

Aku rasa hairan bagaimana orang ramai boleh singgah di sini semata-mata nak menikmati cendol yang bagi aku tak sedap mana pun. Rupa-rupanya barula aku sedar semua ini disebabkan mentaliti orang kita yang sukakan benda percuma. Memang aku tak nafikan kedai tersebut amat terkenal dengan kemurahan hati pemiliknya yang mana pengunjung boleh menambah cendol yang dibeli dengan harga semangkuk sebanyak yang mana pun. Malah, pengunjung boleh membungkus cendol-cendol tersebut untuk dibawa pulang ke rumah. Percuma! Hm... Masyarakat kita ni jika diletak air mineral percuma pun pasti akan berebut-rebut mendapatkannya. Apatah lagi cendol... Sungguh bijak strategi perniagaan pemilik kedai tersebut.

Berdasarkan pengalaman aku, setiap orang yang berniaga pasti dambakan keuntungan. Mana ada orang yang berniaga inginkan rugi. Rasa was-was menyelinap ke dalam diri tentang cendol yang aku makan ini. Andai korang di tempat aku, sudah pasti korang akan faham dengan apa yang aku rasa pada masa itu. Akhirnya aku dan rakan buat keputusan cukuplah semangkuk sahaja cendol untuk hari itu untuk dijamah. Tak perlulah untuk kami tambah lagi meskipun percuma apatah lagi membawanya pulang ke rumah.
Kami pun berlalu pergi...


Adios.
Golongan Marhaen
Salam Sejahtera,

Tanggal 31 Oktober 2009 bersamaan hari Sabtu yang lepas merupakan antara detik-detik yang manis dalam hidupku. Suatu sejarah dan pertemuan telahpun terlakar dalam kehidupan peribadiku. Tarikh tersebut sebenarnya merupakan ulangtahun pertama perkahwinanku bersama isteri tercinta. Teringat detik-detik manis saat kami diijabkabulkan dan diraikan dalam satu upacara yang cukup sederhana di Kelantan. Walaubagaimanapun, aku agak terkilan kerana tidak dapat meraikan ulangtahun pertama aku dengannya kerana isteriku sedang berpantang di Kelantan seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Hanya panggilan dan sms yang jadi pengubat rindu kami antara berdua buat masa sekarang ini. Doaku agar diberi kekuatan untuk menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang suami dengan sempurna di samping dipelihara perhubungan kami ini untuk selama-lamanya...Ameen..

Tapi bukan itu sebenarnya yang aku nak kongsikan bersama korang semua. Meskipun aku sedih tidak dapat bersama isteri dalam meraikan hari bersejarah tersebut, aku bersyukur kerana Tuhan memberiku peluang yang lain untukku mengecap rasa kebahagiaan bila dapat menghabiskan masa bersama teman-teman perjuangan yang dikasihi. Sebenarnya, pertemuan antara kami telahpun diaturkan awal-awal lagi semenjak minggu lepas oleh seorang teman yang telah aku ceritakan sebelum ini tidak lain tak bukan hackers la orangnya. Sepatutnya pertemuan tersebut melibatkan ramai rakan seperjuangan, tetapi takdir hanya mengizinkan kami berempat sahaja bertemu untuk melepaskan rindu...

Terdapat banyak perkara yang aku belajar pada hari tersebut. Semua itu lazimnya dapat dinikmati dan dialami oleh mereka yang berduit. Aku bersyukur kerana dianugerahkan seorang teman yang kaya raya seperti hackers. Tak perlula aku ceritakan tentang kemewahan hidupnya dalam coretanku kali ini kerana telahpun diceritakan dalam tulisanku yang lepas.

KRONOLOGI PERTEMUAN

1) Waktu Pagi

Bertempat di Mid Vallley, rakanku cokoi (juga dikenali sebagai Insan Biasa) telahpun menunggu di sana bersama hackers. Sebelum itu, aku telahpun menerima panggilan daripadanya semasa melalui Highway Seremban. Seawal jam 8.30 pagi aku bertolak dari kediamanku di Melaka. Cokoi pada hari itu ibarat lembu terlepas 'kandang' memandangkan isterinya mempunyai kerja-kerja yang perlu diselesaikan di ofis. Lebih kurang jam 11.30 pagi, aku tiba di kawasan Taman Melati. Pening jugak kepala mencari jalan sebab dah lama aku tak lalui kawasan tersebut. Akhirnya dengan panduan yang diberikan oleh Hadi Ar- Rais (juga dikenali sebagai Seorang Bukan Sasterawan) aku selamat tiba ke rumah flat yang disewanya. Selepas selesai aku memasukkan baju-baju ke mesin basuh di rumahnya, kami pun bersama-sama bertolak ke Mid Valley sepertimana yang dijanjikan.

2) Waktu Tengah Hari

Mula-mula aku berharap juga kawan-kawanku seperti Pakket Kudut, Sopi Kering, Maarof Santet, Mon Montel dll yang akan turun dalam pertemuan kali ini. Tapi seperti yang aku katakan tadi cuma 4 orang sahaja yang boleh turun pada hari tersebut. Yang lain mungkin sibuk kot dengan urusan kerja dan keluarga masing-masing. Hanya aku, cokoi, hadi dan hackers sahaja yang dapat berkumpul pada hari itu. Kira boleh aku katakan di sini perjumpaan kali ini memang agak unik sebab ia melibatkan perjumpaan antara 'makhluk-makhluk gemuk'...

Tempat pertama kami berjanji temu adalah di kedai Deli Fance yang mana cokoi dan hackers telahpun menunggu aku dan hadi di sana. Terus terang aku katakan, itulah kali pertama aku masuk ke situ. Tak tau apa nak order, aku pun ikut aje apa yang cokoi order. Minuman apa ntah namanya pun aku tak tau sebab waitress kat situ pun tak tau apa nama minuman tu. Si hadi pun turut order minuman yang sama. Agak terperanjat jugakla aku bila tengok cokoi membesar dengan cepatnya dalam tempoh masa 4 tahun ni. Di sana kami berbual-bual mengenai pekerjaan masing-masing.



Kemudian kami pergi menjamu selera untuk makan tengah hari di Restoran San Francisco Steakhouse. Itu pun kali pertama aku & hadi menjejakkan kaki ke situ. Jika harapkan gaji sendiri, terus terang aku katakan jangan harap aku nak makan kat situ saja-saja dan sudah tentu akhirnya aku akan berfikir 10 kali untuk makan kat situ. Masakan tidak, harga sepinggan hidangannya sahaja menyamai harga 2-3 hidangan makanan jika aku makan kat F1 atau kat restoran western yang lain. Di sana, kami dihidangkan dengan mushroom & onion soup, garlic bread, chicken wings 2 mangkuk, lamb rack, t-bone etc. Tapi kami tak kisah makan banyak sebab kan aku dah cakap tadi perjumpaan kali ni melibatkan pertemuan makhluk-makhluk gemuk, jadi sudah tentula tiada sebarang pembaziran berlaku. Cuma aku tertanya-tanya, berapalah bil yang si hackers tu kene bayar ek...

3) Waktu Petang

Selesai menjamu selera, kami menunaikan solat di surau yang disediakan. Pertemuan kami tidak lekang dengan gelak tawa dan senda gurau antara satu sama lain. Kami seterusnya pergi ke satu lagi tempat yang aku tak pernah pergi sebelum ini; Kenko Reflexology & Fish Spa. Seriously, kalaulah aku tak dibawa ke sini sudah pasti aku takkan ada keinginan nak masuk dan mencuba kat tempat sebegini. Tapi disebabkan bukan aku yang bayar, so aku pun tak kisahla untuk mencuba di tempat-tempat eksklusif sebegini. Kos untuk kami berempat sahaja dah menelan belanja hampir RM200 untuk tempoh setengah jam. Pengalaman yang aku dapati di sini memang tak boleh dibeli dengan wang ringgit, jadi untuk korang yang berduit aku cadangkan korang pun mencuba sekali.

Mula-mula kami dikehendaki membersihkan kaki masing-masing sebelum nak diberi 'makan' kepada ikan. Aku difahamkan ikan yang digunakan di sini ialah ikan Garra Rufa yang berasal dari Turkey. Ikan-ikan ini memakan kulit-kulit mati di kaki kita dan juga berkesan dalam merawat pesakit-pesakit eczema dan psoriasis. Masa mula-mula aku masukkan kaki ke dalam kolam tersebut, rasa geli tak ingat. Terbahak-bahak aku dengan hadi ketawa masa tu. Tapi aku tengok cokoi dan dauh selamba je. Mungkin dauh selamba sebab dia selalu pegi ke situ. Cokoi pulak mungkin sebab kulit kaki dia dah tebal dek selalu berkaki ayam di kampungnya.

Aku rasa kagum dengan si cokoi ni sebab lepas beri kaki dia 'dimakan' ikan-ikan kecil, dia berubah tempat ke lokasi ikan-ikan besar pulak. Memang tebal betulla kulit kaki dia. Si dauh pun tak berani nak letak kaki dia kat situ. Aku dengan hadi mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri. Apabila diperhatikan, rasa seolah-olah kaki kami digigit oleh ikan piranha pun ada jugak...

Di sana, kami berpeluang mengimbau kenangan sewaktu belajar dahulu. Alangkah indahnya jika masa boleh diputarkan kembali. Selesai menjalani 'terapi kaki' yang amat memuaskan hati kerana hasilnya kaki-kaki kami menjadi licin dan segar, kami turun menuju ke The Dome untuk minum petang. Kat sana kami minum mocha sambil makan sausages, wedges & french fries...Makan lagi... tapi cokoi tak dapat duk lama dengan kami sebab diserang penyakit TB..hehehe (untuk golongan yang Takut Bini laa..) rileks cokoi, gurau aje.. cokoi kene amik bini dia kat ofis petang itu sesudah menerima panggilan wajib dari Puan Asmah..Tinggallah aku, hadi & dauh yang melepak kat sana sampai pukul 6.30 petang...

4) Waktu Malam

Selepas menunaikan solat Asar, kami kemudiannya naik ke tingkat 3 untuk menonton wayang. Dauh dan keluarganya menonton wayang jam 11.15 malam, manakala aku dgn hadi memilih jam 9.15 malam untuk menonton Papadom. Best siut cerita Afdlin Shauki yang satu ni. No wonderla filem dia menang Festival Filem Malayisa baru-baru ini. Tahniah Afdlin...

Dauh kemudiannya naik ke hotel selepas mahgrib untuk bersama-sama dengan keluarganya. Tinggallah aku & hadi berdua berjalan-jalan sementara nak tunggu waktu tayangan. Banyak perkara yang kami berdua bualkan yang tak perlula aku nak kongsikan dengan korang dan banyak jugakla duit aku habis sebab shopping malam tu...habis tayangan dalam jam 11 malam..

Pukul 12 malam baru aku sampai ke rumah hadi untuk tumpang tidur dan rehat. Walaupun badan terasa letih yang amat, perut terasa kenyang yang amat dan mata yang terasa mengantuk sangat, aku berasa amat puas sebab dapat bertemu dan meluangkan masa seharian bersama teman-teman seperjuanganku...Terasa seperti di zaman belajar dahulu..Tak ku sangka begitu cepat masa berlalu..

Buat hackers @ dauh, semoga Tuhan murahkan lagi rezeki anda... Semoga boleh buat gini sokmo... Buat rakan-rakan yang lain, semoga dapat kita bertemu di masa-masa yang mendatang..


Adios.